twitter
rss

Perpaduan merupakan perkara yang penting dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan Negara. Oleh itu, usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk mengekalkan kemerdekaan kebanyakkannya adalah tertumpu untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Tanpa perpaduan, persefahaman dalam pelbagai perkara akan sukar untuk dicapai dan Negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir seperti peristiwa yang berlaku suatu ketika dahulu iaitu peristiwa 13 Mei 1969. Seandainya perkara ini berlaku semula, sudah tentu banyak masalah akan timbul, pentadbiran Negara akan mengalami masalah serta banyak nyawa akan terkorban.
Usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini dapat dilihat dari beberapa  aspek iaitu aspek sosio-ekonomi, aspek sosio-budaya, aspek politik serta dari aspek pendidikan. Dari segi sosio-ekonomi, kita dapat melihat banyak usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan, antaranya adalah Dasar Ekonomi Baru yang telah diperkenalkan pada tahun 1971 oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata iaitu untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta untuk mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Selepas tamat tempoh Dasar Ekonomi Baru iaitu 1970-1990, Dasar Pembangunan Nasional telah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991 (R. Kuberan,Foo Kok Man, Mohd. Azmi Ahmad, 2009). Dasar Pembangunan Nasional ini menyambung matlamat DEB dan objektifnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara maju, meningkatkan perpaduan dan kerjasama antara kaum. Perpaduan  negara  menjadi matlamat DPN kerana masyarakat  yang  bersatupadu  adalah  penting  untuk memperkukuhkan   lagi  kestabilan  sosial  dan  politik  dan mengekalkan  pembangunan  ekonomi   yang   berterusan.   DPN menetapkan   satu   langkah  ke  arah  membolehkan  Malaysia mencapai taraf sebuah negara  yang  maju  dalam  semua  segi iaitu  dari  segi  keadilan  sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik,  kualiti  hidup,  kecekapan  pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi. Selain itu, di bawah Dasar Pembangunan Nasional juga, kerajaan telah menumpukan usaha untuk menggalakkan pembangunan seimbang dalam sektor ekonomi dan sosial serta penjagaan alam sekitar. Dasar Pembangunan Nasional juga turut menggariskan usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan miskin.
Selain itu, dasar lain dalam aspek ekonomi yang telah diperkenalkan kerajaan dalam usaha memperbaiki ekonomi Negara serta mengekalkan perpaduan ialah Dasar Wawasan Negara. Dasar ini merupakan gabungan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dan ia merujuk kepada cabaran strategi Wawasan 2020. Objektif dasar ini ialah membasmi kemiskinan dalam kalangan kelompok kecil miskin di kawasan Bandar dan pendalaman tanpa mengira kaum, kumpulan, suku kaum minoriti bumiputera di Sabah, Sarawak dan Orang Asli serta menyusun semula masyarakat. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan.
Dari aspek pendidikan pula, kerajaan telah melakukan usaha untuk mengekalkan kemerdekaan dengan memberi penekanan kepentingan kemerdekaan serta pendedahan kepada perjuangan pejuang kemerdekaan dalam memperjuangkan kebebasan Negara. Anak-anak muda perlu diajar menyelami kesukaran pejuang dahulu dan betapa peritnya kehidupan dibelenggu penjajah.  Antara langkah yang diambil oleh kerajaan dalam hal ini adalah dengan penaiktarafan mata pelajaran Sejarah oleh Kementerian Pelajaran. Kerajaan juga mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah bakal menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya (Berita Harian, 2010).
Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 yang berteraskan Penyata Razak 1965 dan Laporan Rahman Talib 1960 (International Law Book Series,2000). Dasar pelajaran ini digubal untuk menyatukan kanak-kanak daripada semua bangsa di dalam Negara dengan menggunakan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.
Perpaduan Negara merupakan matlamat utama Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti yang dilaporkan dalam Penyata Razak 1965. Unsur-unsur dan nilai yang dapat memantapkan perpaduan telah dijadikan teras Dasar Pelajaran Kebangsaan. Bagi mencapai matlamat perpaduan Negara menerusi sistem pendidikan, Penyata Razak 1965 dan Penyata Rahman Talib 1960 telah menggariskan tiga teras utama iaitu sistem persekolahan yang sama bagi semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua peringkat persekolahan dan kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama kandungan dan bercorak kebangsaan.
Selain itu, pendidikan di Malaysia juga berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan perlu diberikan kepada semua orang tidak kiralah mereka orang yang berupaya atau kurang berupaya. Pendidikan adalah untuk semua, tanpa mengira status sosio-ekonomi atau kedudukan sosial. Dasar ini adalah untuk mengelakkan timbulnya isu yang boleh menimbulkan perpecahan dalam perpaduan rakyat di Malaysia melalui perbezaan penerimaan ilmu.
Dari aspek politik pula,  kerajaan memastikan keadaan Negara sentiasa dalam keadaan aman dan makmur serta adil dari segi pemerintahannya. Pemerintahan berbentuk demokrasi di mana hak untuk memilih pemimpin ada di tangan rakyat adalah salah satu langkah agar pemimpin yang dipilih oleh rakyat menjalankan tugasnya berdasarkan kepercayaan yang telah disandarkan oleh rakyat kepadanya. Dengan pemilihan pemimpin mengikut pilihan rakyat, rakyat dapat memilih pemimpin yang dapat memimpin Negara dengan baik dan mengekalkan kemajuan Negara.
Dari aspek sosial juga, banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Rukun Negara yang juga dikenali sebagai de facto Malaysian pledge of allegiance telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dan ianya adalah salah satu dari usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Negara Malaysia (Choong Lean Keow, 2008). Di dalam Rukun Negara telah digariskan norma dan etika budaya hidup, daya usaha dan pemikiran yang perlu diterapkan ke dalam sanubari rakyat Negara ini.  Ia juga menggariskan ikrar yang perlu dihayati oleh warganegara Malaysia. Ianya boleh dianggap sebagai falsafah hidup rakyat Malaysia.
Selain itu, dasar lain yang telah diperkenalkan oleh kerajaan ialah Dasar Integrasi Nasional. Dasar ini adalah bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan pelbagai kaum untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Dasar ini mempunyai objektif seperti menjaga keamanan Negara, mengelakkan semangat perkauman demi kemajuan Negara, menggunakan kebudayaan yang sesuai untuk diamalkan oleh semua kaum serta meningkatkan toleransi dan saling mempercayai antara kaum.
Antara strategi yang telah dijalankan di bawah dasar ini ialah mewujudkan Ruku Tetangga dan perjumpaan kaum di setiap taman perumahan, mengadakan sambutan kongsi raya untuk menggalakkan setiap masyarakat berbilang kaum memahami budaya satu sama lain, mengawasi kumpulan fanatik agama yang mencuba memecah belahkan perhubungan baik masyarakat serta yang terakhir ialah menggunakan bahasa Malaysia untuk menggalakkan komunikasi.



Kewujudan media massa seperti akhbar dan majalah mempunyai peranan yang besar dalam menggerakkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu kerana melalui akhbar dan majalah, idea-idea nasionalisme dan perasaan anti penjajah dapat disebarkan kepada rakyat jelata walau di mana pun mereka berada.
            Antara akhbar yang berperanan besar dalam menggerakkan semangat nasionalisme masyarakat sebelum terbentuknya Malaysia ialah akhbar Al-Imam. Akhbar ini merupakan saluran penyebaran yang digunakan untuk menyebarkan idea pembaharuan Kaum Muda iaitu golongan pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar yang juga dikenali sebagai Gerakan Islah.
            Akhbar al-Imam ini diterbitkan di Singapura pada tahun 1906 dan telah dihentikan penerbitannya pada tahun 1908. Tujuan al-Imam diterbitkan adalah untuk mengingatkan mereka yang lalai dan menunjukkan mereka yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebaikan.
            Antara saranan-saranan yang dikemukakan oleh akhbar Al-Imam ialah menyeru orang Melayu berpegang kepada al-Quran dan hadis, menekankan pentingnya ilmu pengetahuan untuk mencapai kemajuan, menitik beratkan pengetahuan sejarah kerana banyak iktibar yang boleh dipelajari, menasihati ibu bapa supaya memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak, menggesa kaum wanita diberi peluang mendapatkan pendidikan dan yang terakhir ialah mengetepikan adat resam dan kepercayaan karut yang boleh menghalang kemajuan.
            Selepas majalah Al-Imam dihentikan penerbitannya, semangat dan cita-cita yang diperjuangkannya diteruskan oleh akhbar lain seperti Neracha, Al-Ikhwan, Pengasuh dan Saudara. Al-Imam telah memberikan kesan yang besar dalam perkembangan pemikiran orang Melayu.
            Idea pembaharuan Kaum Muda melalui akhbar Al-Imam ini mendapat tentangan daripada golongan yang dikenali sebagai Kaum Tua. Kaum Tua ini terdiri daripada golongan ulama dan pengawal agama yang tidak dapat menerima idea Islah yang dipelopori oleh Kaum Muda. Golongan ini berpegang kuat kepada adat dan agama Islam. Walau bagaiamanapun, perkara yang menimbulkan pertelingkahan antara mereka hanyalah perkara kecil yang tidak melibatkan perkara pokok dalam agama Islam. Kaum Tua telah menerbitkan akhbar Suara Benar dan Lidah Benar untuk menentang idea Kaum Muda.
            Gerakan Islah ataupun Kaum Muda ini telah menimbulkan kesedaran di kalangan intelektual Melayu yang kemudiannya telah menyemarakkan kesedaran semangat kebangsaan pada tahun 1930-an. Golongan intelektual ini terdiri daripada golongan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).
            Golongan intelektual ini telah berganding bahu dengan golongan cerdik pandai agama bagi menyumbangkan tenaga dan fikiran untuk memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan usaha ini telah berjaya menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat ketika itu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada jajahan British. Antara tokoh nasionalis tersebut ialah Harun Aminnurashid yang merupakan tokoh pejuang kebangsaan lepasan MPSI. Beliau merupakan seorang penulis yang aktif dalam penulisan puisi bertemakan semangat nasionalisme.
            Pada tahun-tahun 1930-an juga, tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn Ja’afar dan Abdul Rahim Kajai telah muncul. Tulisan mereka telah membangkitkan kesedaran untuk memajukan diri dan bersatu padu, di samping mengkritik dasar-dasar British yang menekan orang Melayu.
            Kebanyakkan akhbar, majalah dan novel yang dihasilkan pada ketika itu adalah untuk menyedarkan dan seterusnya memajukan bangsa Melayu. Isu-isu yang dibangkitkan dalam akhbar dan majalah juga adalah dari segi sosial, pendidikan, ekonomi dan politik.
Dari segi sosial, hal-hal yang dibangkitkan adalah berkaitan :
-       Memajukan pendidikan tinggi orang Melayu.
-       Mengalakkan pendidikan untuk anak perempuan.
-       Menyeru orang Melayu supaya meninggalkan sifat negatif seperti memilih kerja dan tidak mahu berusaha.
-       Menggalakkan tabungan dalam kalangan orang Melayu untuk pendidikan anak-anak.
-       Mementingkan kemahiran tradisional orang Melayu seperti pertukangan dan kerja tangan.
-       Mementingkan pendidikan bahasa Inggeris untuk kemajuan orang Melayu.
-       Meminta taraf sekolah Melayu dibaiki dengan memberiknnya nilai ekonomi.
-       Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran British.
-       Mengekalkan nilai-nilai baik masyarakat Melayu.
Dari segi ekonomi pula, isu-isu yang dibangkitkan ialah :
-       Menggalakkan penubuhan syarikat kerjasama.
-       Mengurangkan kemasukan pedagang luar yang boleh mengancam ekonomi tempatan.
-       Menggalakkan orang Melayu terlibat dalam aktiviti ekonomi.
-       Melarang orang Melayu daripada menjual tanah mereka.
-       Menyeru orang Melayu supaya berjimat cermat.
-       Meminta British mengadakan kampung khas orang Melayu di Kuala Lumpur.
Dari segi politik pula, isunya ialah :
-       Mengkritik British kerana mengurangkan kuasa raja-raja Melayu.
-       Mengkritik para pembesar dan raja-raja Melayu kerana tidak melaksanakan kemajuan kepada masyarakat Melayu.
-       Menolak dasar pilih kasih British dalam pentadbiran kerajaan.\
-       Menuntut diadakan Malay Administrative untuk melindungi orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan.
-       Menyeru orang Melayu di seluruh Tanah Melayu supaya bersatu dalam sebuah pertumbuhan kebangsaan.
-       Menentang tuntutan orang luar terhadap politik tempatan.
Majalah juga memainkan peranan yang penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Sehingga tahun 1940-an, terdapat 120 buah majalah pelbagai corak telah diterbitkan. Perkara yang difokuskan oleh majalah melalui rencana dan puisi yang diterbitkan ialah persoalan untuk memajukan bangsa Melayu dan kebanyakkannya menyentuh mengenai isu kemajuan bangsa dalam bidang pendidikan, ekonomi, bahasa, sastera dan politik.
Majalah terawal di Tanah Melayu ialah Majalah Pengasuh yang diterbitkan pada tahun 1918. Majalah ini telah membangkitkan isu-isu seperti soal pentafsiran Islam yang progresif bagi kemajuan ummah, galakan pendidikan dalam kalangan orang Melayu, memperluaskan ilmu dalam segala bidang, pentafsiran terhadap persoalan orang Islam dan juga menggesa orang Melayu menjauhkan diri daripada sifat buruk.
Pada tahun 1924, majalah Guru telah diterbitkan dan pengarangnya terdiri daripada Muhamad Dato’ Muda Linggi, Yusuf Ahmad dan Mohd Sidin Rashid. Isu-isu yang dibangkitkan oleh majalah Guru ialah :
-       Memberi pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak Melayu.
-       Menyeru perpaduan dalam kalangan orang Melayu.
-       Meniupkan semangat cinta akan Negara dan menentang penjajahan.
-       Memperbaiki taraf hidup orang Melayu.
-       Memajukan bahasa dan sastera Melayu.
-       Menggalakkan perpaduan dalam kalangan guru sebagai pemimpin bahasa.
Pada tahun 1930 pula, majalah Bulan Melayu telah diterbitkan oleh Zainon Sulaiman. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam majalah ini dan kebanyakan isu tersebut adalah berkenaan dengan wanita. Antara isu-isu tersebut ialah menggalakkan perpaduan dalam kalangan guru perempuan Melayu Johor dan juga menggalakkan wanita mendapat pendidikan untuk kemajuan diri. Selain itu majalah Bulan Melayu juga mendorong wanita menjaga kesopanan dengan nilai-nilai Islam dan budaya timur serta menggalakkan wanita menjadi obor untuk memajukan bangsa.
Penulisan novel di Tanah Melayu bermula pada awal abad ke-20 dan telah menjadi semakin rancak pada tahun 1930-an. Penyebaran semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat melalui penulisan novel merupakan usaha-usaha yang dijalankan oleh para sasterawan dalam menyedarkan masyarakat ketika itu. Mesej-mesej tentang semangat kebangsaan sangat jelas dalam karya-karya novel yang terhasil.
Antara novel-novel yang banyak menyampaikan mesej kesedaran bangsa ialah novel Keris Melaka, Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila serta novel Melor Kuala Lumpur. Novel Keris Melaka merupakan novel yang dikarang oleh Ahmad Bakhtiar. Ia bertemakan semangat perjuangan menentang penjajah Barat dan berkisar mengenai sumbangan tokoh-tokoh Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah. Ahmad Bakhtiar telah menggunakan sejarah sebagai inspirasi dan pedoman untuk mendorong semangat perjuangan bangsa bagi generasi muda ketika itu.
Novel Putera Gunung Tahan dan Novel Anak Mat Lela Gila merupakan hasil karya penulis berbakat iaitu Ishak Haji Muhammad. Seperti kebanyakan pengarang sebelum merdeka, Ishak menggunakan novel dan cerpen sebagai saluran untuk membakar semangat orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial. Sikapnya yang antipenjajah jelas diluahkannya dalam novel dan cerpennya. Putera Gunung Tahan adalah sebuah novel politik yang bertujuan untuk meniup semangat cinta akan tanah air, semangat ingin hidup maju dan bebas daripada belenggu penjajahan. Di dalam novelnya ini juga beliau cuba untuk menerapkan dalam diri anak muda rasa bangga terhadap kebolehan sendiri serta rasa tanggungjawab untuk menjaga maruah bangsa walaupun terpaksa menggadai soal cinta. Novelnya yang berjudul Anak Mat Lela Gila pula menggambarkan keadaan masyarakat Melayu dengan kisah-kisah hasil pengalaman beliau mengembara ke seluruh negara. Watak-wataknya melontarkan sindiran terhadap sikap tidak adil penjajah Inggeris dan pembesar-pembesar tanah air terhadap masyarakat Melayu. Melalui novel Anak Mat Lela Gila, beliau cuba menerapkan semangat dalam diri anak muda ketika itu untuk menentang penjajah serta menghargai warisan bangsa.
Melor Kuala Lumpur pula merupakan sebuah novel hasil karya Harun Aminurrashid yang bertemakan kepentingan pendidikan moden dalam kalangan wanita Melayu. Dalam novel ini juga, beliau menyeru untuk membuang pandangan negatif yang boleh menghalang kemajuan bangsa.

Penubuhan Malayan Union telah mendapat pelbagai tentangan daripada rakyat di Tanah Melayu. Penentangan terhadap Malayan Union begitu kuat sehingga rancangan tersebut tidak dapat dikuat kuasakan sepenuhnya. 
Orang Melayu telah melakukan pembantahan terhadap pelaksanaan Malayan Union dan antara bantahan yang telah dilaksanakan oleh orang Melayu adalah dengan menyuarakan bantahan melalui akhbar seperti Utusan Melayu, Majlis dan Warta Negara. Melalui akhbar-akhbar ini juga, keburukan dan kerugian yang akan dialami oleh orang Melayu jika Malayan Union dilaksanakan didedahkan. Akhbar Utusan Melayu pada 12 Oktober 1945 telah mencatatkan :
“..dari pandangan sepintas lalu dapatlah diketahui bahawa cadangan Malayan Union itu menguntungkan orang-orang bukan Melayu. Hal ini amat mencemaskan fikiran dan perasaan orang Melayu mengenai masa depan mereka. Para sultan hendaklah menimbangkan dengan sepenuh hati cadangan Malayan Union ini sebelum menyetujuinya..”
Ramlah Adam, A. H. (2004)
Orang Melayu juga telah melakukan demonstrasi secara damai semasa Sir Harold MacMIchael mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu di Kota Bharu, Kelantan dan Alor Setar Kedah bagi menunjukkan penentangan mereka terhadap penubuhan Malayan Union (Zamri Talib, 2008).
Selain itu, sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah menulis surat kepada Raja British dan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu memohon sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu dalam menentang penubuhan Malayan Union. Mereka juga mendesak Kerajaan British dan Pejabat Tanah Jajahan membatalkan rancangan penubuhan MU dan merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu khususnya yang dapat melindungi kepentingan orang Melayu. Bekas pegawai British tersebut telah menulis dalam akhbar di Britain, terutamanya akhbar Times untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Antara bekas pegawai British tersebut ialah Frank Swettenham, Authur Richard, Cecil Clementi, Rolland Braddle dan Winstreadt.
Pada tahun 1946, Dato’ Onn Jaafar telah menyeru orang Melayu untuk berkongres dan menubuhkan United Organization sebagai banteng menentang Malayan Union. Pada 1 hingga 4 Mac 1946, satu kongres Melayu telah dilakukan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kongres ini telah dihadiri oleh 41 buah persatuan dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Dalam persidangan tersebut, kongres telah bersetuju untuk menubuhkan United Malay Organization (UMNO). Rapat umu telah dilakukan untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap ahli-ahli parlimen British iaitu L.D. Gammans dan David Reese William.
Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, British tetap mahu melaksanakan Malayan Union. Pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Garbenor Malayan Union yang pertama, majlis tersebut telah dipulau oleh sultan-sultan Melayu. Ini adalah kerana tindakan orang Melayu yang berhimpun di perkarangan rumah tumpangan yang didiami oleh sultan-sultan Melayu yang sepatutnya menghadiri upacara perlantikan tersebut (Dr. Ismail Said, 2010). Dato’ Onn Jaafar ketika itu telah bertindak sebagai wakil orang Melayu untuk berunding dengan sultan-sultan untuk memulaukan upacara perlantikan tersebut
Pada 28 April 1946, raja-raja Melayu telah berkumpul di Kuala Kangsar untuk menyatakan bantahan mereka kepada ahli-ahli parlimen British (Zamri Talib, 2008). Tindakan tegas orang Melayu menentang British menyebabkan pihak British terpaksa memulakan rundingan dengan raja-raja Melayu dan UMNO.
Kesan daripada penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union dan rundingan antara raja-raja dan Umno dengan pihak British, maka terbentuklah Persekutuan Tanah Melayu.
Persekutuan Melayu telah ditubuhkan pada 1 Februari bagi menggantikan Perjanjian Malayan Union dan faktornya adalah kerana ketegasan orang Melayu di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar menentang Malayan Union.

Pada musim bunga tahun 1944, Sir Harold MacMichael telah dijemput oleh Pejabat Kolonial untuk ke Tanah Melayu bagi mendapatkan tandatangan daripada Raja-Raja Melayu (Dr. Ismail Said, 2010). Pemerintahan Tentera British merupakan masa yang paling sesuai bagi MacMichael untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu kerana keadaan ketenteraan ini sesuai untuk dijadikan asas ugutan untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu.
Pada Oktober 1945, Sir Harold MacMichael tiba di Tanah Melayu bagi mendapatkan persetujuan dan tandatangan Raja-Raja Melayu ke atas Perjanjian Malayan Union (International Law Book Services, 2000). Beliau hanya mengambil masa selama 22 hari untuk mendapatkan tandatangan daripada kesemua pemerintah Tanah Melayu. Beliau telah bertindak memaksa sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan langsung tidak memberi masa untuk sultan-sultan tersebut untuk berunding dengan majlis masing-masing. Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain atas tuduhan bekerjasama dengan pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Hal ini menyebabkan berlakunya rasa tidak puas hati rakyat terhadap cara Sir Harold MacMichael mendapatkan persetujuan para Sultan dan ini telah membawa penentangan terhadap penubuhan Malayan Union.
Selain itu, penubuhan Malayan Union juga telah mendapat tentangan kerana pemberian kerakyatan yang longgar melalui Orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana mereka masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Pemberia taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India akan menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu.
Melalui penubuhan Malayan Union, kuasa dan kewibawaan raja akan berkurangan dan terhakis. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa pentadbiran dan hanya berkuasa dalam hal-hal yang tertumpu dalam hal-ehwal Islam dan adat resam Melayu. Walaupun sultan masih mempunyai kuasa membincangkan soal-soal agama tetapi zakat fitrah dipungut di bawah nama Gabenor Malayan Union (Zamri Talib, 2008). Keadaan ini bertentangan dengan kedudukan sultan sebagai ketua agama Islam.
Penubuhan Malayan Union juga ditentang oleh rakyat Melayu kerana ia akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Semua warganegara Malayan Union akan mempunyai hak-hak yang sama termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam (Dr. Ismail Said, 2010). Orang Melayu tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang Cina dan India yang dianggap pendatang yang menumpang di Tanah Melayu. Penghapusan hak istimewa menyebabkan orang Melayu bimbang penguasaan ekonomi oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan meluaskan jurang ekonomi antara orang Melayu dengan Cina.

Menurut Dr.Ismail Said (2010), sejak tahun 1942, kerajaan British telah menubuhkan Unit Perancangan di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu setelah Perang Dunia Kedua tamat. Unit perancangan ini dinamakan sebagai Malayan Planning Unit dan diketuai oleh Mejar Jeneral Ralph Hone. Hone telah ditugaskan untuk merangka bentuk pentadbiran baru untuk Tanah Melayu dan akhirnya usul untuk menggabungkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kecuali Singapura menjadi Malayan Union telah dibentangkan.
            Cadangan untuk Malayan Union ini telah dibentangkan pertama kalinya oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British pada Januari 1944 di Parlimen United Kingdom. Pada awalnya, Sabah dan Sarawak juga telah dimasukkan ke dalam cadangan awal Malayan Union namun kemudiannya telah dikeluarkan daripada cadangan terakhir kerana pihak British belum bersedia ketika itu dan masih lagi berada dalam keadaan yang kurang stabil.
            Penubuhan Malayan Union mempunyai beberapa sebab yang tertentu dan antaranya ialah untuk mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran British di Tanah Melayu. Sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua, pentadbiran di Tanah Melayu terbahagi kepada tiga bentuk pentadbiran yang tidak seragam iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Dengan menggabungkan ketiga-tiga pentadbiran ini di bawah satu pentadbiran, suatu pentadbiran yang cekap, seragam dan tersusun akan dapat dihasilkan berbanding dengan pentadbiran yang berasingan yang merumitkan (Haji Tajuddin Bin Haji Hussein,2007). Dalam masa yang sama, dengan menyatukan ketiga-tiga pentadbiran ini dalam satu pentadbiran yang sama, kos perbelanjaan bagi menguruskan tiga pusat pentadbiran utama ini juga dapat dijimatkan. Ini kerana pentadbiran tiga unit ini secara berasingan telah menelan belanja yang banyak dan juga telah menyebabkan berlakunya pembangunan ekonomi yang tidak seimbang (Zamri Talib, 2008).
            British berhasrat untuk membentuk sebuah bangsa Malayan Union yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu penubuhan Malayan Union ini adalah bertujuan untuk melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina dan India kerana taat setia mereka masih lagi kepada Negara asal mereka. Dengan penubuhan Malayan Union, British berharap bangsa ini akan melupakan Negara asal mereka dan menumpukan taat setia sepenuhnya terhadap Malayan Union dengan kaedah pemberian kerakyatan yang longgar kepada mereka. Perkara ini adalah bagi memastikan wujudnya sumber tenaga dan pelaburan yang berterusan untuk memajukan ekonomi Tanah Melayu (Zamri Talib, 2008).
            Menurut pihak British, penubuhan Malayan Union juga adalah untuk menyediakan Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri (Haji Tajuddin Bin Haji Hussein,2007). Ini adalah disebabkan kerana British terikat dengan Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan hak Negara-negara untuk berkerajaan sendiri. Sebelum hasrat ini tercapai pentadbiran yang stabil perlu diwujudkan. Oleh itu, menurut pihak British, Malayan Union perlu ditubuhkan.
            Tanah Melayu sememangnya terkenal sebagai pengeluar bijih timah dan getah terbesar di dunia ketika itu. Ini menyebabkan Tanah Melayu menjadi sumber ekonomi terbesar antara tanah jajahan Britis, Oleh itu, British ingin mengekalkan dan menjamin kekuasaannya di Tanah Melayu. Dengan penubuhan Malayan Union, hasrat British ini akan terlaksana dan ini akan membolehkan Britsh terus menguasai ekonomi Tanah Melayu dan mengurangkan kuasa politik orang Melayu. 
            Malayan Union telah diisytiharkan secara rasminya pada 1 April 1946 di King house, Kuala Lumpur dan Sir Edward Gent telah dilantik sebagai gabenornya yang pertama. Dengan pengisytiharan ini, secara rasminya ia telah menggantikan pentadbiran Tentera British yang telah dijalankan sejak bulan September 1955 (Dr. Johdi Salleh, 2007).
            Antara syarat-syarat utama yang terdapat di dalam Perlembagaan Malayan Union ialah :
1.    Semua negeri di Tanah Melayu telah disatukan di bawah satu kerajaan pusat kecuali Singapura yang diasingkan kerana kepentingannya sebagai pelabuhan bebas.
2.    Diketuai oleh seorang gabenor yang dilantik oleh Ratu England.
3.    Terdapat Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan Malayan Union.
4.    Singapura diasingkan kerana bertindak sebagai pelabuhan bebas.
5.    Hak kerakyatan ditentukan oleh prinsip Jus Soli iaitu satu prinsip kerakyatan yang mudah dan longgar seperti :
a.    Kepada sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura
b.    Berumur 18 tahun ke atas dan gtelah bermastautin selama 10-15 tahun
c.    Kurang daripada 18 tahun dan merupakan anak warganegara
d.    Semua rakyat British daripada tanah jajahan takluknya
6.    Raja-raja Melayu hanyalah sebagai ahli Majlis Raja-Raja Melayu yang hanya membincangkan soal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.
7.    Ketua pentadbir bagi setiap negeri diletakkan di bawah kuasa Pesuruhjaya Negeri.

(Zamri Talib, 2008)

Dalam konteks kehidupan sosial kanak-kanak, keluarga dan sekolah merupakan institusi manakala masyarakat serta rakan sebayanya adalah termasuk dalam kumpulan. Keluarga mempunyai banyak tanggungjawab dalam perkembangan kanak-kanak. Terdapat ahli sosiologi mengatakan bahawa kanak-kanak ketika dilahirkan adalah seperti kain putih atau papan tulis yang bersih. Maka, kanak-kanak tersebut akan mempelajari daripada ibu bapa mengenai kerjasama dan persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau senang hati dan ketegangan. Apabila ibu bapa bersifat garang terhadap kanak-kanak, kanak-kanak tersebut akan bersifat pasif, tidak ada inisiatif, tidak  mahu bekerjasama dan mereka takut untuk mengeluarkan pendapat. Sekiranya ibu bapa berlembut dengan anak-anak dan memenuhi segala permintaan mereka serta memberikan kebebasan mutlak kepada kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tersebut tidak akan menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan tanggungjawab. Walau bagaimana pun, sekiranya seseorang kanak-kanak itu dibesarkan dengan cara melibatkannya dalam setiap perbincangan mengenai masalah keluarga serta dididik dengan lembut tetapi tegas dan banyak diberi bimbingan, kanak-kanak tersebut akan bersifat bersopan santun, yakin kepada kebolehan dirinya serta menunjukkan sifat-sifat yang positif.
            Kedudukan kanak-kanak sebagai ahli dalam struktur sesebuah institusi keluarga juga mempengaruhi kehidupan sosialnya. Contohnya, kanak-kanak yang merupakan anak sulung lebih berdikari dalam hidupnya, berkeyakinan dan lebih sensitif terhadap persekitaran kerana lebih banyak menerima tekanan. Kanak-kanak yang merupakan anak bongsu pula dalam kehidupan sehariannya dapat dilihat sifatnya yang manja, bergantung kepada ahli keluarganya yang lain serta sentiasa mendapat perhatian daripada ahli keluarga yang lain.
            Sekolah juga merupakan institusi dalam kehidupan sosial kanak-kanak. Di sekolah, kanak-kanak belajar berinteraksi dengan orang lain yang berada dalam kelompok asas mereka. Kanak-kanak diajar ilmu pengetahuan dan kemahiran semasa berada di sekolah dan apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di sekolah tidak terbatas kepada kesedaran terhadap terhadap kurikulum sahaja tetapi mereka juga diajar tentang kepentingan nilai-nilai dan norma-norma kebudayaan masyarakat mereka.
            Dalam proses persekolahan, kanak-kanak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya dalam beberapa jam persekolahan. Dalam keadaan ini, mereka menentukan sama ada mereka diterima atau ditolak oleh kumpulan tersebut. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan mengenai kehidupan terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak akan cuba untuk menghayati norma, nilai dan harapan rakan sebaya agar diterima dan disanjung oleh kumpulannya walaupun kadangkala norma tersebut menyalahi norma dan nilai keluarga atau masyarakat.
           

Manusia atau dalam erti kata lain individu lain dalam sesebuah institusi masyarakat amat diperlukan oleh kanak-kanak untuk dijadikan sebagai pembimbing. Ini kerana fitrah kanak-kanak yang harus dipimpin dalam mengharungi kehidupan sebagai anggota masyarakat. Pentingnya individu lain dan tempat serta persekitaran kanak-kanak membesar dalam kehidupan sosial kanak-kanak dapat dilihat melalui kisah-kisah di mana individu diasingkan daripada masyarakat.
Sebagai contoh, kisah seorang kanak-kanak perempuan bernama Isabelle di Ohio, USA. Kisahnya boleh dikatakan kesan daripada pengasingan yang dialaminya. Isabelle telah dikurung dalam sebuah bilik gelap selama 6 tahun oleh datuk dan neneknya kerana dia dilahirkan secara haram oleh ibunya. Satu-satunya manusia yang berinteraksi dengannya selama 6 tahun tersebut adalah ibunya. Oleh kerana itu, dia tidak dapat bercakap dan mendengar. Pada tahun 1938, pihak berkuasa Ohio telah menjumpainya apabila ibunya melarikan diri dari rumah bersamanya. Oleh kerana jarang melihat orang lain, dia bersikap ganas terhadap orang lain seperti binatang liar. Setelah itu, golongan professional memberi latihan kepadanya dan mendapati dia sebenarnya dapat mendengar dan setelah beberapa hari dia menunjukkan minat untuk bercakap. Apabila berusia 9 tahun, dia telah bersedia bersekolah. Ini adalah sebab pakar-pakar telah membuat program latihan yang sistematik untuk membentuk Isabelle menyesuaikan diri berhubungan dengan manusia dan melalui proses sosialisasi. Dari kes ini, dapat dilihat bagaiman pentingnya interaksi dengan manusia dalam kehidupan sosial kanak-kanak. (Rohana Yusof,1996)
Dalam kes yang lain, seorang kanak-kanak perempuan bernama Genie dari California dikurung oleh ayahnya dari umur 20 bulan hingga 13 tahun. Genie diikat pada satu kerusi dan tidak dapat mengerakkan badannya kecuali jari-jari dan tangannya. Keadaan rumah Genie sentiasa sepi dan dengan ini dia tidak boleh mendengar sebarang bunyi. Genie sering dipukul oleh ayahnya sekiranya dia berbuat bising. Disebabkan itu, dia belajar memendam segala perasaan. Kerana selalu terikat pada kerusia, di tidak dapat berdiri tegak, lari dan melompat dan oleh kerana dia tidak pernah melihat objek jauh, penglihatannya rosak dan hanya dapat memfokus kepada objek-objek yang dekat sahaja. Genie juga sukar dikawal di khalayak ramai, merampas apa sahaja yang menarik perhatiannya dan kelihatan sangat curiga terhadap keadaan sekitarnya akibat dia tidak melalui proses sosialisasi. Melalui kes ini, kita dapat melihat betapa pentingnya proses interaksi dengan manusia, serta betapa pentingnya persekitaran terhadap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak dalam kehidupannya. Jika persekitan memberi peransang yang baik maka baiklah perkembangan personalitinya dan jika tidak maka akan berlaku sebaliknya. (Rohana Yusof,1996)
Dengan melihat kepada kes-kes tersebut, jelaslah pengasingan individu dari manusia lain memberikan kesan yang negatif terhadap perkembangan fizikal, mental dan sosial kanak-kanak. Jika kanak-kanak tidak digalakkan untuk mempunyai kawan-kawan dan persekitaran yang baik, mereka mungkin akan tertekan untuk berinteraksi dengan kawan-kawan dan amatlah kritis dalam perkembangan emosi mereka.
Tempat juga mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak. Perbezaan tempat akan memberi perbezaan kebudayaan, cara hidup, pemikiran, pekerjaan dan kehidupan sosial sesuatu masyarakat. Kehidupan sosial kanak-kanak dipengaruhi oleh tempat alam sekitar ia dibesarkan. Perbezaan tempat ia dibesarkan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak itu sendiri dari segi tingkah laku, pemikiran, aktiviti seharian, percakapan,budaya dan sebagainya.
Masyarakat yang tinggal di bandar berbeza daripada masyarakat yang tinggal di desa. Masyarakat desa lebih menjurus kepada kegiatan ekonomi pertanian seperti pesawah, nelayan, tukang rumah dan sebagainya. Masyarakat desa juga mempunyai kesedaran perpaduan kelompok yang kuat sehinggakan mempertahankan kelompok dan nilainya adalah lebih penting daripada individu. Ini dapat dilihat melalui amalan gotong royong yang dilihat jelas berlaku dalam kehidupan masyarakat desa. Ini akan menyebabkan kanak-kanak yang duduk di desa atau luar bandar mempunyai nilai-nilai seperti mana yang wujud dan berlaku dalam masyarakat setempatnya. Kanak-kanak luar bandar juga seringkali dilatih untuk hidup bersama masyarakat. Ibu bapa akan membawa anak-anak mereka turut serta dalam kegiatan masyarakat. Secara tidak langsung amalan kerjasama, hormat menghormati dan kemesraan dipupuk dalam diri kanak-kanak melalui pemerhatian, ingatan dan peneguhan yang berulang kali. (http://fillnthecookies.blogspot.com/)