Perpaduan merupakan perkara yang penting dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan Negara. Oleh itu, usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk mengekalkan kemerdekaan kebanyakkannya adalah tertumpu untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Tanpa perpaduan, persefahaman dalam pelbagai perkara akan sukar untuk dicapai dan Negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir seperti peristiwa yang berlaku suatu ketika dahulu iaitu peristiwa 13 Mei 1969. Seandainya perkara ini berlaku semula, sudah tentu banyak masalah akan timbul, pentadbiran Negara akan mengalami masalah serta banyak nyawa akan terkorban.
Usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini dapat dilihat dari beberapa aspek iaitu aspek sosio-ekonomi, aspek sosio-budaya, aspek politik serta dari aspek pendidikan. Dari segi sosio-ekonomi, kita dapat melihat banyak usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan, antaranya adalah Dasar Ekonomi Baru yang telah diperkenalkan pada tahun 1971 oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata iaitu untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta untuk mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Selepas tamat tempoh Dasar Ekonomi Baru iaitu 1970-1990, Dasar Pembangunan Nasional telah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991 (R. Kuberan,Foo Kok Man, Mohd. Azmi Ahmad, 2009). Dasar Pembangunan Nasional ini menyambung matlamat DEB dan objektifnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara maju, meningkatkan perpaduan dan kerjasama antara kaum. Perpaduan negara menjadi matlamat DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi. Selain itu, di bawah Dasar Pembangunan Nasional juga, kerajaan telah menumpukan usaha untuk menggalakkan pembangunan seimbang dalam sektor ekonomi dan sosial serta penjagaan alam sekitar. Dasar Pembangunan Nasional juga turut menggariskan usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan miskin.
Selain itu, dasar lain dalam aspek ekonomi yang telah diperkenalkan kerajaan dalam usaha memperbaiki ekonomi Negara serta mengekalkan perpaduan ialah Dasar Wawasan Negara. Dasar ini merupakan gabungan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dan ia merujuk kepada cabaran strategi Wawasan 2020. Objektif dasar ini ialah membasmi kemiskinan dalam kalangan kelompok kecil miskin di kawasan Bandar dan pendalaman tanpa mengira kaum, kumpulan, suku kaum minoriti bumiputera di Sabah, Sarawak dan Orang Asli serta menyusun semula masyarakat. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan.
Dari aspek pendidikan pula, kerajaan telah melakukan usaha untuk mengekalkan kemerdekaan dengan memberi penekanan kepentingan kemerdekaan serta pendedahan kepada perjuangan pejuang kemerdekaan dalam memperjuangkan kebebasan Negara. Anak-anak muda perlu diajar menyelami kesukaran pejuang dahulu dan betapa peritnya kehidupan dibelenggu penjajah. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan dalam hal ini adalah dengan penaiktarafan mata pelajaran Sejarah oleh Kementerian Pelajaran. Kerajaan juga mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah bakal menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya (Berita Harian, 2010).
Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 yang berteraskan Penyata Razak 1965 dan Laporan Rahman Talib 1960 (International Law Book Series,2000). Dasar pelajaran ini digubal untuk menyatukan kanak-kanak daripada semua bangsa di dalam Negara dengan menggunakan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.
Perpaduan Negara merupakan matlamat utama Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti yang dilaporkan dalam Penyata Razak 1965. Unsur-unsur dan nilai yang dapat memantapkan perpaduan telah dijadikan teras Dasar Pelajaran Kebangsaan. Bagi mencapai matlamat perpaduan Negara menerusi sistem pendidikan, Penyata Razak 1965 dan Penyata Rahman Talib 1960 telah menggariskan tiga teras utama iaitu sistem persekolahan yang sama bagi semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua peringkat persekolahan dan kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama kandungan dan bercorak kebangsaan.
Selain itu, pendidikan di Malaysia juga berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan perlu diberikan kepada semua orang tidak kiralah mereka orang yang berupaya atau kurang berupaya. Pendidikan adalah untuk semua, tanpa mengira status sosio-ekonomi atau kedudukan sosial. Dasar ini adalah untuk mengelakkan timbulnya isu yang boleh menimbulkan perpecahan dalam perpaduan rakyat di Malaysia melalui perbezaan penerimaan ilmu.
Dari aspek politik pula, kerajaan memastikan keadaan Negara sentiasa dalam keadaan aman dan makmur serta adil dari segi pemerintahannya. Pemerintahan berbentuk demokrasi di mana hak untuk memilih pemimpin ada di tangan rakyat adalah salah satu langkah agar pemimpin yang dipilih oleh rakyat menjalankan tugasnya berdasarkan kepercayaan yang telah disandarkan oleh rakyat kepadanya. Dengan pemilihan pemimpin mengikut pilihan rakyat, rakyat dapat memilih pemimpin yang dapat memimpin Negara dengan baik dan mengekalkan kemajuan Negara.
Dari aspek sosial juga, banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Rukun Negara yang juga dikenali sebagai de facto Malaysian pledge of allegiance telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dan ianya adalah salah satu dari usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Negara Malaysia (Choong Lean Keow, 2008). Di dalam Rukun Negara telah digariskan norma dan etika budaya hidup, daya usaha dan pemikiran yang perlu diterapkan ke dalam sanubari rakyat Negara ini. Ia juga menggariskan ikrar yang perlu dihayati oleh warganegara Malaysia. Ianya boleh dianggap sebagai falsafah hidup rakyat Malaysia.
Selain itu, dasar lain yang telah diperkenalkan oleh kerajaan ialah Dasar Integrasi Nasional. Dasar ini adalah bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan pelbagai kaum untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Dasar ini mempunyai objektif seperti menjaga keamanan Negara, mengelakkan semangat perkauman demi kemajuan Negara, menggunakan kebudayaan yang sesuai untuk diamalkan oleh semua kaum serta meningkatkan toleransi dan saling mempercayai antara kaum.
Antara strategi yang telah dijalankan di bawah dasar ini ialah mewujudkan Ruku Tetangga dan perjumpaan kaum di setiap taman perumahan, mengadakan sambutan kongsi raya untuk menggalakkan setiap masyarakat berbilang kaum memahami budaya satu sama lain, mengawasi kumpulan fanatik agama yang mencuba memecah belahkan perhubungan baik masyarakat serta yang terakhir ialah menggunakan bahasa Malaysia untuk menggalakkan komunikasi.