twitter
rss

Terdapat banyak faktor yang memainkan peranan penting dalam menentukan kandungan, matlamat dan aspirasi FPK. Antaranya ialah faktor agama, politik, ekonomi dan banyak lagi faktor lain.
Faktor yang pertama ialah faktor agama. Islam merupakan agama rasmi dalam Malaysia dan agama lain seperti Kristian, Buddha, Hindu serta yang lain bebas diamalkan dan ini telah jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara. Agama-agama yang telah disebutkan ini terutamanya Islam merupakan faktor asas yang penting dalam penggubalan FPK. Faktor agama ini jelas terdapat dalam elemen FPK yang menyebutkan “ untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”
Faktor yang kedua pula ialah faktor sosial. Rakyat dalam negara Malaysia terdiri daripada pelbagai suku kaum yang mengamalkan budaya yang berlainan. Keharmonian dan keamanan negara bergantung kepada sikap individu untuk mengamalkan sikap toleransi, kerjasama dan saling hormat menghormati dengan kaum-kaum yang lain. Sikap positif seperti ini merupakan faktor yang terpenting bagi mencapai persefahaman antara kaum dan seterusnya mengekalkan keamanan dalam negara. Oleh itu, matlamat untuk mencapai persefahaman antara kaum telah menjadi salah satu objektif FPK seperti yang terdapat dalam elemennya iaitu “ Usaha ini adalah bagi melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, beerketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran Negara, masyarakat dan Negara.”
Faktor politik juga merupakan salah satu faktor penentu kandungan, matlamat dan aspirasi FPK. Seperti yang diketahui umum, FPK digubal berdasarkan Laporan Kabinet, Rancangan Malaysia serta Rukun Negara. Oleh itu, objektif untuk mencapai persefahaman kaum merupakan asas penggubalan FPK. Ia merupakan faktor yang berpengaruh dan mempunyai kaitan dengan faktor sosial.
Selain itu, faktor lain yang menjadi penentu kepada kandungan, matlamat dan aspirasi FPK ialah faktor ekonomi. Rakyat Malaysia telah dilatih dengan pelbagai kepakaran yang berguna yang mampu membantu dalam matlamat untuk mengembangkan ekonomi negara dengan meningkatkan produktiviti mereka. Matlamat tersebut iaitu mengembangkan ekonomi negara mampu tercapai sekiranya usaha untuk melahirkan individu yang berpengetahuan, mempunyai kepakaran serta bertanggungjawab dan mampu mengekalkan keamanan negara di samping memajukan negara dipertingkatkan. Berdasarkan matlamat untuk melahirkan individu yang mampu mencapai matlamat tersebut, ia telah menjadi salah satu objektif yang penting dalam pendidikan negara berdasarkan FPK.
Faktor yang seterusnya ialah faktor individu. Potensi dalam diri individu mampu dihasil kembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu yang dimaksudkan ini adalah potensi yang meliputi aspek intelek, rohani, emosi serta jasmani. Perkembangan menyeluruh individu dengan meliputi aspek-aspek tersebut mampu menghasilkan individu yang seimbang dan harmoni. Matlamat untuk menghasilkan individu yang seimbang dan harmoni ini merupakan salah satu aspirasi FPK.
Selain faktor-faktor tersebut, satu lagi faktor yang tidak dilupakan dalam proses penggubalan FPK ialah faktor sejagat. Dalam faktor sejagat, penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidikan antarabangsa.Pengaruh perkembangan dalam sistem pendidikan antarabangsa tidak diabaikan dalam penentu kandungan, matlamat dan aspirasi FPK. Idea-idea yang dikemukakan dalam seminar-seminar pendidikan antarabangsa dan forum juga menjadi faktor yang tidak dilupakan dalam penggubalan FPK. (Mok Soon Sang,2003)

0 comments:

Post a Comment