Implikasi yang dapat dilihat pada pendidik ialah perubahan sikap dan profesionalnya untuk menjalankan tugas sejajar dengan tujuan dan dasar FPK. Perubahan ini meliputi perubahan sikap peribadi pendidik sendiri dengan pandangan dan visi yang positif terhadap tugasnya untuk merealisasikan tujuan dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain itu ia juga meliputi perubahan profesional dengan mengubah strategi dan teknik pengajaran yang bersesuaian untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berketrampilan serta berakhlak mulia. (Mok Soon Sang, 2010)
Antara implikasi lain yang dapat dilihat ialah dari sudut tugas pendidik. Tugas pendidik atau guru lebih kepada mendidik pelajar agar mereka dapat menguasai pelbagai kemahiran dalam kehidupan, terutamanya dalam bidang teknikal dan vokasional, di samping menjadi individu yang mampu memberi sumbangan terhadap masyarakat dan negara selaras dengan aspirasi FPK. Guru juga bertindak sebagai agen perubahan yang membawa inovasi baru yang mampu untuk memenuhi kehendak pelajar, masyarakat dan negara serta merealisasikan objektif pendidikan negara berdasarkan FPK. (Mok Soon Sang, 2003)