twitter
rss

1.  LAPORAN KABINET (1979)

Menurut Choong Lean Keow (2008), Laporan Kabinet merupakan satu laporan yang mengandungi isu-isu penting  berkaitan dengan pendidikan termasuklah prinsip, nilai dan hala tuju pendidikan. Idea untuk menggubal FPK telah tercetus setelah laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran diterbitkan pada tahun 1979.
Laporan Kabinet telah ditubuhkan pada September 1974 dan ianya dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Menteri Pelajaran. Tujuan utama laporan ini adalah untuk mengkaji semula matlamat-matlamat dan keberkesanan sistem pendidikan yang diamalkan ketika itu. Selain itu, laporan tersebut juga bertujuan untuk  memastikan keperluan tenaga manusia negara dipenuhi dalam jangka masa pendek dan panjang di samping memastikan system pendidikan memenuhi matlamat negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu, berdisplin serta terlatih. (Choong Lean Keow, 2008)
Laporan Kabinet ini telah dikemukakan pada November 1979 dan jawatankuasa laporan tersebut telah mendapati bahawa terdapat pelbagai kelemahan yang menghalang untuk mencapai matlamat pendidikan yang bermutu dalam sistem pendidikan ketika itu.
Kelemahan khusus dalam kurikulum sekolah rendah menurut Jawatankuasa Kabinet adalah penekanan penguasaan isi kandungan pelajaran tanpa menekankan penguasaan kemahiran asas 3M sehingga terdapat murid yang masih belum mempunyai kemahiran tersebut walaupun setelah melalui enam tahun pengajian di sekolah rendah. Selain itu kaedah pengajaran yang berpusat kepada guru iaitu kaedah pengajaran yang tidak memberi tumpuan kepada mengatasi kelemahan pembelajaran dan perkembangan psikologi murid juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan mutu pembelajaran yang rendah. (Sufean Hussin,1993)
Selain itu, mengikut kajian terhadap Kurikulum Lama Sekolah Rendah yang dilaksanakan sejak merdeka, terdapat pelbagai kelemahan dalam kurikulum ini. Antara kelemahan yang didapati oleh Jawatankuasa Kabinet ialah isi kandungan sukatan pelajaran kadangkala berulang dan tidak ada kaitan antara mata pelajaran atau antara darjah. Sukatan pelajarannya juga mengandungi butiran yang terlalu banyak sehingga membebankan serta membosankan murid untuk belajar. Akibatnya guru dan murid selalu terdesak untuk menghabiskan sukatan pelajaran terutamanya apabila ada peperiksaan.
Selain itu, pengajaran dan pembelajaran juga terlalu bergantung kepada buku teks. Ini menghadkan penggunaan teknik dan bahan pengajaran lain yang lebih menarik dan berkesan. (Mok Soon Sang, 2010)
Bagi kurikulum sekolah menengah pula, Jawatankuasa Kabinet mendapati bahawa kelemahan utama kurikulum tersebut adalah tidak memberi tumpuan kepada bakat dan minat murid-murid kerana wujudnya pengaliran yang membelakangkan kecenderungan dan minat murid-murid. Pengaliran kepada sastera dan sains secara tertutup dan ketat telah menyekat mobility pembelajaran.
Antara cadangan yang telah diberikan dalam Laporan Kabinet adalah tumpuan diberikan kepada pendidikan asas 3M dan kedudukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dikekalkan. Selain itu, laporan tersebut juga telah mencadangkan agar fokus diberi kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur disiplin yang diingini. Berdasarkan kelemahan yang telah dilihat oleh Jawatankuasa Laporan ini dalam kurikulum sekolah menengah, laporan ini telah mencadangakan agar pendidikan menengah atas dibahagikan kepada dua jurusan iaitu akademik dan vokasional. Laporan ini juga mencadangkan agar peluang untuk melanjutkan persekolahan ditambah daripada 9 tahun kepada 11 tahun. (Sufean Hussin,1993)
Pada akhir Laporan Kabinet telah ditekankan tentang pentingnya pendidikan sebagai proses pembinaan keperibadian insan yang seimbang (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1992). Hal ini dinyatakan seperti yang berikut :
Untuk kepentingan pembangunan negara tenaga rakyat yang diperlukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi bilangan, jenis pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki bahkan perlu dilihat juga dari segi sikap, mereka perlu jujur dan dedikasi terhadap kerja. Mereka bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahupun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak mulia. Tegasnya. Individu yang dilahirkan daripada sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan.
                                                      (Laporan Jawatankuasa Kabinet, Para 452, halaman 227)
Melalui Laporan Jawatankuasa Kabinet ini, ia telah membawa kepada pembentukan Falsafah Pendidikan Negara. Ini dapat dibuktikan melalui elemen-elemen yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan mengenai melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia. 



2. RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
·         Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;
·         Memelihara satu cara hidup demokratik ;
·         Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;
·         Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan
·         Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip berikut :
·         Kepercayaan Kepada Tuhan
·         Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
·         Keluhuran Perlembagaan
·         Kedaulatan Undang-undang
·         Kesopanan Dan Kesusilaan

Menurut Sufean Hussin (1993), Rukun Negara merupakan ideologi dan pancasila kewarganegaraan yang digubal urutan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Rukun Negara yang juga dikenali sebagai de facto Malaysian pledge of allegiance telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dan ianya adalah salah satu dari usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Negara Malaysia. Rukun Negara ini telah diilhamkan sebahagiannya daripada pancasilla Negara jiran iaitu Negara Indonesia.(Choong Lean Keow, 2008)
Di dalam Rukun Negara telah digariskan norma dan etika budaya hidup, daya usaha dan pemikiran yang perlu diterapkan ke dalam sanubari rakyat Negara ini.  Ia juga menggariskan ikrar yang perlu dihayati oleh warganegara Malaysia. Ianya boleh dianggap sebagai falsafah hidup rakyat Malaysia.
Bagi merealisasikan cita-cita yang digariskan dalam rukun Negara, perlunya penghayatan rohaniah dan kesedaran serta semangat yang sentiasa ditingkatkan dari masa ke semasa. Peningkatan semangat dan kesedaran ini bukanlah melalui amalan yang kerap tetapi melalui unsur-unsur yang dijalinkan bersama dalam kurikulum pendidikan. Aspek kurikulum tersirat yang paling utama adalah pemahaman dan penghayatan Rukun Negara. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pendidik untuk sentiasa peka mengenai cita-cita dan prinsip rukun Negara agar pembentukan masyarakat seperti yang dihasratkan dapat dicapai.
Rukun Negara menjadi tunjang kepada pembentuka Falsafah Pendidikan Negara dengan melihat kepada elemen dalam Falsafah Pendidikan Negara itu sendiri. Ini dapat dilihat melelui elemen yang menyebutkan :
“...untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”

3. DASAR EKONOMI BARU

Menurut Sufean Hussin (1993), Dasar Ekonomi Baru telah digubal bersama-sama Rukun Negara akibat tragedi 13 Mei 1969. Ia merupakan satu usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan Negara dengan mengurangkan perbezaan dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan dan lain-lain (Choong Lean Keow, 2008). Ini adalah berlandaskan hakikat bahawa terdapat ketidakimbangan penyertaan kaum dalam kegiatan ekonomi khususnya di antara bumiputera dengan bukan bumiputera. Ketidakimbangan ini dipercayai menjadi bibit polarisasi yang menghalang proses pembentukan masyarakat yang bersatu padu. (Sufean Hussin,1993)
Dasar Ekonomi Baru mempunyai dua matlamat besar yang juga dijadikan strategi untuk melaksanakan rancangan pembangunan di bawahnya iaitu mengurangkan dan membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat  untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi(Choong Lean Keow, 2008). Pembasmian kemiskinan dijalankan dengan memajukan wilayah luar bandar dan sektor pertanian agar rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih tinggi dan bermutu. Penyusunan semula masyarakat pula dijalankan dengan meningkatkan mobiliti sosioekonomi masyarakat bumiputera melalui kaedah pemberian kemudahan dan kelonggaran dalam penyertaan bidang perdagangan dan perindustrian dengan cara pemberian bantuan dan perhatian yang lebih dalam penyertaan pendidikan.
Dasar pendidikan yang berkait dengan Dasar Ekonomi Baru menuruti Falsafah Pendidikan Barat iaitu progresivisme dan perenialisme kerana ia menekankan pencapaian keperluan masyarakat yang seimbang dan pembelajaran yang lebih mengutamakan pemerolehan pengetahuan dan kemahiran bagi meningkatkan keupayaan bersaing dalam kehidupan. Pendidikan bukan sahaja telah menjadi ejen sosialisasi tetapi juga telah menjadi ejen bagi mengurangkan jurang status sosioekonomi antara kaum dan wilayah.
Ini dapat dilihat dalam elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu elemen yang menyebutkan :
“...melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

4. DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 adalah berteraskan Penyata Razak 1965 dan Laporan Rahman Talib 1960. (International Law Book Series,2000) Dasar pelajaran ini digubal untuk menyatukan kanak-kanak daripada semua bangsa di dalam Negara dengan menggunakan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.
Perpaduan Negara merupakan matlamat utama Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti yang dilaporkan dalam Penyata Razak 1965. Unsur-unsur dan nilai yang dapat memantapkan perpaduan telah dijadikan teras Dasar Pelajaran Kebangsaan. Bagi mencapai matlamat perpaduan Negara menerusi system pendidikan, Penyata Razak 1965 dan Penyata Rahman Talib 1960 telah menggariskan tiga teras utama iaitu system persekolahan yang sama bagi semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua peringkat persekolahan dan kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama kandungan dan bercorak kebangsaan.
Pada tahun 1960,Penyata Rahman Talib telah diwartakan dan ia merupakan semakan semula Penyata Razak 1956. Menerusi penyata ini, sukatan pelajaran telah diperbaharui dan beberapa mata pelajaran telah diperkenalkan. Mata pelajaran ini adalah yang mempunyai kaitan dengan kehidupan masyarakat iaitu Tata Rakyat, Pendidikan Moral, Sejarah dan Ilmu Alam.
Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan pada tahun 1974 bagi mengkaji semula Dasar Pelajaran Kebangsaan. Kajian ini bertujuan untuk memperbaiki pelaksanaan dasar agar selaras dengan keperluan semasa negara terutamanya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk pembangunan negara, mewujudkan identiti kebangsaan dan perpaduan negara.
Pelaksanaan Falsafah Pendidikan Negara bermula selepas Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran diwartakan pada tahun 1979. Laporan ini menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu memberi penekanan kepada perkembangan potensi inidividu secara menyeluruh ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan.



0 comments:

Post a Comment