twitter
rss

Erik Ericson merupakan seorang tokoh Psikologi yang membentuk Teori Psikososial hasil pengalaman kehidupannya sendiri dan melalui apa yang yang dipelajarinya melalui Teori Sigmun Freud.  Teori beliau digelar psikososial kerana beliau menggabungkan tiga faktor yang mempengaruhi perkembangan individu, iaitu faktor kendiri, emosi, dan social. Teori Erikson adalah berdasarkan 5 prinsip iaitu :
  • a)    Manusia mempunyai keperluan asas yang sama
  • b)  Perkembangan individu bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan-keperluan asas.
  • c)    Perkembangan manusia mengikut tahap-tahap tertentu.
  • d)  Setiap tahap mempunyai konflik dan ia mesti diatasi sebelum individu dapat berfungsi dengan jayanya pada tahap berikutnya.
  • e)   Kegagalan mengatasi konflik pada sesuatu tahap akan menjejaskan perkembangan tahap yang berikutnya.

Menurut Erik Erikson, manusia berpotensi untuk mengalami perkembangan psikologi yang sihat.  Manusia mempunyai keupayaan untuk mengatasi kesulitan yang timbul dari semasa ke semasa dalam peringkat-peringkat perkembangan yang tertentu.  Beliau membahagikan perkembangan manusia kepada lapan peringkat.  (Dr. Khadijah Rohani dan rakan-rakan, 2006)
Tahap yang pertama ialah tahap kepercayaan lawan ketidakpercayaan iaitu pada usia 0-18 bulan. Pada tahap ini, interaksi erat antara ibu bapa dan anak adalah penting. Peristiwa dalam peringkat ini amat penting kerana akan mempengaruhi perkembangan bayi tersebut.  Mereka akan belajar untuk percaya atau tidak kepada orang lain.  Justeru itu, ianya mempengaruhi sikap dan interaksinya dengan orang lain.  Kepercayaan akan memudahkan manusia menghadapi dan mengatasi masalah dalam hidup mereka.  Ketidakpercayaan akan menghalang dan melemahkan keupayaan seseorang mengatasi kesulitan dan cabarannya.  Jika bayi menerima kasih sayang dan jagaan yang sempurna daripada ibu bapa, bayi akan memperkembang sifat rasa percaya. Jika tidak, mereka akan memperkembang sifat takut, rasa syak wasangka dan tidak percaya dengan persekitaraan mereka.
Tahap yang kedua pula ialah tahap autonomi lawan perasaan malu dan keraguan iaitu pada usia18 bulan – 3 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak mula menyedari bahawa mereka bertanggungjawab ke atas tingkah laku mereka sediri. Mereka  akan menyedari setiap perlakuan adalah tindakan sendirinya dan bukan tindakan orang lain.  Mereka turut mempunyai keinginan untuk bertindak secara bebas.  Mereka akan berusaha untuk membuat sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. 
Namun, pada peringkat ini, kanak-kanak akan berasa ragu-ragu dengan kebolehan diri sendiri.  Mereka akan berasa diri berkemampuan dan juga meragui kemampuan diri.  Tingkah laku yang boleh diterima menyebabkan mereka berasa lebih yakin.  Manakala, kanak-kanak akan berasa malu atau takut  sekiranya tingkah laku mereka tidak dapat diterima.  Jika ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka semasa ini untuk berdikari dan menerokai alam sekeliling, anak-anak akan yakin dengan diri mereka. Sebaliknya, jika ibu bapa terlalu mengawal, anak-anak akan jadi pemalu, ragu-ragu dan mempersoalkan kebolehan diri untuk menghadapi dunia.
             Menurut Erikson, tingkah laku yang tidak diingini sewajarnya dikawal dan yang diingini dipuji.  Maka, kanak-kanak akan mampu membezakan perbuatan yang baik dan salah.  Kecenderungan kanak-kanak untuk berfungsi secara bebas mestilah diterima dan didorong secara bebas.
Tahap yang ketiga pula ialah tahap inisiatif  lawan perasaan bersalah iaitu pada peringkat 3 – 6 tahun. Pada tahap ini, anak-kanak mula lebih berupaya menerokai persekitaran dan mencipta aktiviti sendiri dan perasaan autonomi mereka sudah pun mencapai aras perkembangan yang tinggi. Mereka mempunyai persekitaran fizikal yang lebih luas dan bebas bergerak serta perkembangan bahasa mula berkembang dengan cepat, mereka dapat menyoal, memahami jawapan dan dapat membayangkan berbagai-bagai kemungkinan. Hasil positif pada tahap ini ialah inisiatif.
Keinginan inisiatif amat penting dalam lingkungan umur 3 hingga 6 tahun dan hendaklah sentiasa dipupuk.  Hal ini kerana ianya penting untuk perkembangan psikososial.  Sekiranya inisiatif tidak digalakkan dalam peringkat ini, perkembangan kanak-kanak mungkin terjejas kerana inisiatif akan membantu kita sepanjang hayat.
            Kanak-kanak yang sentiasa diberi galakkan akan menyedari keupayaan dan kebolehan mereka.  Mereka akan menyedari potensi diri dan menjadi prang dewasa yang lebih berinisiatif.  Hal ini berbeza dengan kanak-kanak yang tidak diberi galakkan untuk melakukan sesuatu.  Kanak-kanak ini akan membesar menjadi seorang individu yang kurang berinisiatif dan rendah diri.
Peringkat yang keempat ialah tahap ketekunan lawan rasa rendah diri yang berlaku pada usia 6-11 tahun. Tahap dan daya tenaga kanak-kanak pada usia 6 tahun tinggi dan mampu menguasai kemahiran fizikal dan sosial.  Selain itu, kebolehan berbahasa mereka juga meningkat.  Mereka mulai mencapai tahap operasi konkrit iaitu keupayaan mereka untuk menggambarkan pertalian antara dua situasi yang berkaitan, memahami proses pembalikan serta berfikiran lojik.  Mereka mampu untuk menyusun idea-idea mengikut urutan dan bersedia untuk menerima pandangan orang lain.  Bahasa mula digunakan dengan jitu dan tepat berdasarkan objek yang konkrit.  Namun, kanak-kanak sukar untuk menerima kekalahan dan wujudnya persaingan yang kuat sesama mereka. 
Menurut Erikson, pada peringkat ini kanak-kanak perlu menyalurkan tenaga mereka kepada perkara yang baik.  Ketekunan mereka mampu dipertingkatkan melalui tugasan yang bertujuan.  Melalui ketekunan, kanak-kanak berkeupayaan untuk melakukan sesuatu.  Peringkat ini merupakan kunci kepada perkembangan sikap yang rajin dan keinginan melakukan aktiviti yang berfaedah sahaja.  Kanak-kanak akan berasa rendah diri sekiranya tidak diberi galakkan kerana kurang keyakinan diri.   Justeru itu, aktiviti berfaedah yang dijalankan oleh kanak-kanak hendaklah sentiasa dipuji dan digalakkan agar sikap ketekunan dapat dipupuk.
Tahap yang kelima pula ialah identiti lawan kekeliruan identiti pada usia 12 – 18 tahun. Peringkat ini dikenali sebagai peringkat remaja dan penting untuk menentukan nilai dan seterusnya membentuk identiti seseorang.  Hal ini kerana remaja masih belum jelas akan tujuan dan aspirasi diri serta harapan orang lain.  Keraguan mereka tentang identiti sendiri menyebabkan mereka cenderung untuk meniru atau mencontohi orang lain.  Hal ini menyebabkan tingkah laku mereka tidak disenangi oleh orang dewasa dan akhirnya menimbulkan konflik identiti.  Justeru itu, dalam peringkat ini, peranan orang dewasa terutamanya ibu bapa amat penting.  Ibu bapa sewajarnya menyelami dan memahami keperluan remaja agar identiti yang sihat dapat dibentuk.
Tahap keenam ialah tahap kerapatan lawan pengasingan pada usia18 – 35 tahun. Peringkat ini merupakan peringkat di mana seseorang dewasa cenderung untuk mencari pasangan dan mendirikan rumah tangga.  Cara ini membolehkan mereka berkongsi hidup dan mencapai kemesraan dan kerapatan.  Sebaliknya, orang dewasa yang masih bujang akan berasa sunyi dan mengalami pengasingan.
Tahap kedua terakhir ialah tahap generativiti lawan pemusatan kendiri pada usia 35 – 60 tahun. Generaviti merujuk kepada usaha seseorang untuk memberi sumbangan dan perkhidmatan untuk generasi akan datang.  Seorang dewasa akan berpuas hati sekiranya dapat membantu anak-anaknya menjadi orang dewasa yang berguna dan bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.  Individu ini juga gemar memberi sumbangan kepada masyarakat dan orang lain.  Hal ini berbeza dengan individu yang mementingkan diri sendiri dan tidak pernah menghulurkan bantuan sepanjang hidupnya.  Individu berkenaan akan berasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan prestasi hidupnya.
Tahap yang terakhir ialah tahap yang berlaku pada usia 60 tahun sehingga akhir hayat iaitu tahap kesepaduan lawan putus asa. Orang dewasa akan sentiasa melaksanakan refleksi kendiri dalam peringkat ini.  Mereka akan mengingati kembali kejayaan dan kegagalan yang dialaminya pada peringkat-peringkat awal.  Individu akan mencapai tahap kesepaduan sekiranya berasa puas hati dan mampu mengatasi masalah-masalah yang dialaminya.  Sebaliknya, individu yang terlepas peluang dan menyesali masa lalu akan berputus asa. 



0 comments:

Post a Comment