Sebagai seorang bakal guru, antara usaha yang boleh dilakukan untuk membentuk perkembangan yang sihat dalam perkembangan anak-anak adalah melalui pendidikan. Pendidikan awal kanak-kanak sedari umur 4 tahun telah ditekankan dalam matlamat pendidikan negara kita masa kini. Hal ini kerana, kanak-kanak yang dididik dengan baik dan menerima pendidikan yang mantap akan berkembang menjadi insan yang seimbang. Pengalaman pembelajaran yang diterima di sekolah akan mempengaruhi perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Budaya dan amalan sesuatu masyarakat juga akan mempengaruhi pengalaman kanak-kanak tersebut.
Dalam membentuk perkembangan yang sihat untuk kanak-kanak, keluarga merupakan pihak yang mempunyai peranan yang paling penting khususnya ibu bapa. Pendidikan awal kanak-kanak sewajarnya bermula daripada rumah. Ibu bapa sewajarnya berusaha untuk mewujudkan suasana keluarga yang harmoni dan meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga agar keperluan anak-anak mampu dipenuhi. Sekiranya taraf ekonomi serta hubungan antara keluarga stabil, kanak-kanak akan mendapat suasana perkembangan yang sihat, suasana pembelajaran yang mantap dan persekitaran yang harmoni. Hal ini akan memberikan implikasi yang amat besar kepada kanak-kanak dalam proses pertumbuhan dan perkembangan mereka.
Selain itu, aspek pemakanan juga mestilah dititiberatkan untuk membantu perkembangan kanak-kanak yang sihat. Makanan yang bergizi dan seimbang hendaklah disediakan untuk anak-anak dalam membantu pertumbuhan dan perkembangan anak-anak. Makanan yang sihat juga mampu melindungi seseorang individu daripada serangan penyakit. Ibu bapa juga harus mengawasi pengambilan makanan segera atau makanan ringan anak-anak. Hal ini kerana, kajian menunjukkan anak-anak yang didedahkan dengan makanan ringan atau makanan segera semasa kecil akan mempunyai potensi berhadapan risiko penyakit-penyakit berbahaya seperti darah tinggi, diabetes dan masalah obesiti.
Selain itu, kanak-kanak perlu didedahkan dengan persekitaran masyarakat yang sihat. Justeru itu, masyarakat sewajarnya membendung gejala-gejala yang tidak bermoral untuk memastikan persekitaran kanak-kanak menjadi lebih selamat dan dapat melalui perkembangan yang sihat.
Bagi mendapatkan perkembangan yang sihat kepada kanak-kanak, ibu bapa atau pun guru seharusnya memerhatikan dan mengawasi rakan kanak-kanak. Hal ini kerana, rakan sebaya mempengaruhi kehidupan mereka. Menurut teori sosiologi penyaluran kebudayaan yang dikemukakan oleh Edwin Sutherland, kelakuan-kelakuan devian iaitu kelakuan yang menyimpang dari yang sebenarnya wujud apabila seseorang itu berhubung dengan kumpulan yang melihat devian itu sesuatu yang baik daripada kumpulan yang menganggapnya tidak baik. (Rohana Yusof,1996) Tingkah laku yang tidak baik ini menurut Edwin Sutherland adalah dipelajari dan diajar. Oleh itu, sekiranya kanak-kanak tersebut bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai tingkah laku yang tidak baik, mereka akan cenderung untuk melakukannya juga. Sebagai contoh, seseorang yang berkawan rapat dengan penagih dadah mempunyai risiko untuk turut terjebak sama menagih dadah. Manakala, individu yang berkawan rapat dengan seorang pelajar yang berakhlak mulia turut terkena tempias kebaikan rakannya itu. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan siapa rakan anak-anak mereka untuk memastikan mereka menjalani perkembangan yang sihat.
Kesimpulannya, keluarga khususnya ibu bapa dan juga guru merupakan pihak yang penting dalam membentuk perkembangan kanak- kanak agar mereka dapat menjalani kehidupan yang stabil dan sempurna.