Lawrence Kohlberg dianggap sebagai pelopor utama dalam teori perkembangan moral. Beliau merupakan seorang professor pendidikan dan psikologi sosial universiti Harvard. Kajian beliau merangkumi pendidikan moral dan perkembangan individu.
Kohlberg percaya bahawa dalam perkembangan penaakulan moral, setiap orang perlu melalui setiap peringkat dan tahap satu demi satu. Penaakulan moral tidak semestinya membawa kepada tindakan yang bermoral. Walau bagaimanapun, tindakan bermoral bergantung pada kemampuan sesorang untuk memberi alasan kepada pilihan tindakan moralnya. Bagi Kolhberg, hal yang lebih penting adalah alasan sesuatu tindakan tersebut diambil kerana alasan tersebut boleh menjadi sebahagian daripada motivasi kita untuk mengambil tindakan bermoral. Penaakulan moral boleh diterap menerusi pendidikan formal dan interaksi sosial. Misalnya, penaakulan moral boleh diajar dengan cara berbincang dengan kanak-kanak tentang dilemma moral yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.
Perkembangan moral oleh Kohelberg dibahagikan kepada tiga peringkat utama dan setiap tahap merangkumi dua peringkat penaakulan moral.
Tahap 1 : Pra-Konvensional
Peringkat ini dinamakan Pra – Konvensional kerana pada peringkat ini kanak-kanak tidak begitu faham akan peraturan dalam masyarakat. Pemikiran moral peringkat pertama biasanya dicapai oleh kanak-kanak sekolah rendah dan sebahagian kecil kanak-kanak sekolah menengah. Pada peringkat ini, penaakulan moral sangat mudah dan biasanya alasan yang diberikan oleh kanak-kanak mengikut norma yang diterima oleh masyarakat atau dengan kata lain, mengikut seperti disuruh oleh pihak yang berkuasa ke atas mereka (misalnya ibu bapa dan guru). Dalam tahap ini, perlakuan dinilai berdasarkan ganjaran dan hukuman hasil daripada perlakuan tersebut. Dalam tahap ini terdapat dua peringkat iaitu peringkat orientasi kepatuhan dan hukuman dan peringkat orientasi jangkaan individu.
Peringkat 1 : Orientasi kepatuhan dan hukuman
Pemikiran kanak-kanak berorientasikan egosentrik yang mementingkan diri sendiri. Mereka lebih mementingkan kesan fizikal. Kanak-kanak mematuhi arahan kerana takutkan hukuman yang akan diterima sekiranya melanggar peraturan.
Peringkat 2: Orientasi ganjaran peribadi
Pada tahap ini, alasan melakukan sesuatu tindakan dikaitkan dengan ganjaran tertentu atau balasan yang setimpal. Individu melakukan sesuatu berdasarkan keinginan untuk mendapatkan balasan. Tingkah laku mereka didorong untuk memuaskan kehendak sendiri dan untuk menerima ganjaran sekiranya mematuhi arahan. Dalam peringkat prakonvensional tahap kedua, perkembangan kanak-kanak merupakan tindak balas persekitaran kepada dirinya. Keinginan mereka melakukan sesuatu amat berkait rapat dengan layanan yang mereka terima daripada orang lain.
Tahap 2 : Konvensional
Peringkat ini dinamakan konvensional kerana pada peringkat ini kanak-kanak dan remaja boleh ikut atau patuh peraturan dalam masyarakat. Ia merupakan tahap pertengahan dalam teori Kohelberg. Individu sudah mula mengaplikasikan peraturan berdasarkan peraturan yang ditentukan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat.
Peringkat 3: Orientasi pelakuan baik
Pada tahap ini, alasan melakukan sesuatu tindakan dikaitkan dengan tujuan untuk menggembirakan atau membuatkan orang lain kagum. Kanak-kanak cenderung berkorban demi mendapatkan ganjaran psikologi iaitu dalam bentuk sokongan yang ditunjukkan oleh orang lain terhadap tindakan yang diambil mereka. Kanak-kanak atau remaja mengaplikasi nilai moral yang telah ditentukan oleh individu di sekeliling mereka. Mereka menghargai nilai kepercayaan dan kepatuhan kepada peraturan. Mereka cenderung untuk menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Mereka sudah memiliki sifat empati kepada orang lain serta mampu mentafsir sesuatu perbuatan itu.
Peringkat 4 : Akur kepada sistem sosial dan etika peraturan
Pada tahap ini, alasan melakukan sesuatu tindakan dilihat dari aspek yang lebih luas iaitu kepatuhan pada undang-undang dan peraturan. Kanak-kanak atau remaja mulai faham bahawa tangunggjawab kepada undang-undang adalah lebih utama daripada tanggungjawab untuk taat setia kepada keluarga dan kawan-kawan. Pada umumnya, mereka percaya bahawa undang-undang dibentuk untuk mengawal ketenteraman masyarakat.
Tahap 3 : Pos-Konvensional
Tahap ini kenali sebagai moral pos-konvensional kerana kebanyakan remaja dan orang dewasa pada peringkat ini faham akan prinsip-prinsip moral yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Dalam tahap ini, individu mula meneroka pilihan, memilih alternatif lain dalam kehidupan. Mereka mula memiliki kod moral dan etika yang tersendiri.
Peringkat 5 : Etika kontrak sosial dan hak individu
Tumpuan utama pada tahap ini adalah kehendak masyarakat umum. Individu pada tahap ini akur bahawa undang-undang dan peraturan diperlukan untuk memelihara ketenteraman masyarakat tetapi ia tidak boleh dipatuhi secara membuta tuli. Alasan melakukan sesuatu tindakan dikaitkan dengan mempertahankan hak seseorang berpandukan kepada undang-undang yang dipersetujui oleh masyarakat keseluruhannya. Dalam peringkat ini, individu berhujah menggunakan nilai, hak dan prinsip. Mereka menilai undang-undang yang ditetapkan berdasarkan hak individu. Undang-undang dilihat bersifat fleksibel dan mempunyai alternatif dan akan dipatuhi sekiranya mematuhi hak-hak individu. Dalam tahap ini, kanak-kanak akan mampu berempati dengan perasaan orang lain dan dirinya. Mereka sudah mampu menilai sesuatu tindakan yang dilakukan dan melakukan perbuatan yang disukai sebagai refleksi kepada sokongan orang lain.
Peringkat 6 : Etika prinsip sejagat
Tumpuan utama pada tahap ini adalah prinsip-prinsip moral. Alasan melakukan sesuatu tindakan dikaitkan dengan prinsip etika yang dipilih oleh seseorang. Prinsip-prinsip ini bukanlah peraturan moral yang konkrit sebaliknya melibatkan prinsip sejagat berhubung dengan keadilan, kesaksamaan, hubungan timbal balik dan maruah insane. Dalam peringkat ini, individu telah memiliki kod-kod moral dan etika yang tersendiri serta memenuhi hak individu sejagat. Mereka mementingkan kesamaan hak kepada semua individu dan menghormati prinsip orang lain.