twitter
rss

Perkataan fitrah merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab iaitu fatara. Menurut Kamus Dewan (1998), istilah fitrah ditakrifkan sebagai satu sifat semula jadi, bakat pembawaan atau perasaan keagamaan. Ringkasnya fitrah ialah satu sifat semula jadi atau bakat semulajadi yang berupa dorongan atau pembawaan yang ada pada setiap manusia sejak dilahirkan ke dunia ini. Maka, fitrah manusia boleh diertikan sebagai insan yang mempunyai bakat atau potensi semula jadi serta perasaan keagamaan. Aa Gym pula mendefinisikan fitrah sebagai tabiat yang suci dan asli yang dibawa manusia sejak lahir, dan belum pernah disentuh atau diubah. Ia merupakan satu anugerah dari Tuhan sama ada dalam bentuk fizikal atau mental. Ia juga merupakan suatu ketetapan Tuhan sejak manusia itu belum dilahirkan. Biasanya fitrah manusia dikategorikan kepada dua kategori iaitu yang pertama ialah kejasmanian, kebendaan dan keduniaan manakala yang kedua ialah kategori kerohanian, keakhiratan dan ketuhanan.
Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai keunikan yang tersendiri dan ia meliputi semua bidang kehidupan. Potensi ini terkandung dalam beberapa aspek seperti jasmani, mental, kerohanian dan emosi. Seseorang individu itu berkemampuan untuk mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka ke tahap yang maksima. Menurut Rogers (1951), manusia berkeupayaan untuk menjadi positif dan baik dan kerana itu manusia sentiasa berusaha ke arah penyempurnaan diri.
Di dalam agama Islam, fitrah merujuk kepada kekuatan manusia untuk mengetahui agama yang benar dan Tuhan yang menciptakannya. Ini disokong oleh seorang tokoh sarjana Islam iaitu al-Ghazali yang mengatakan bahawa setiap insan wajib mengenali Allah S.W.T yang merupakan fitrah manusia dalam usaha mengenali diri untuk menjadi insan yang bertakwa.
Fitrah kejadian ini dapat dilihat melalui perspektif agama dan persekitaran. Agama adalah satu set kepercayaan, nilai dan amalan yang berasaskan pengajaran. Agama menyediakan satu model untuk diri dan masyarakat dalam pembentukan nilai dan amalan serta ia membantu manusia memahami kejadian di dunia. Konsep ketuhanan merupakan satu aspek luas namun semua agama menekankan kebaikan dan kebenaran.
Setiap manusia yang menghuni alam maya ini mempunyai fitrah beragama, sama ada mereka beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Sejarah sendiri telah membuktikan bahawa manusia sejak dahulu telah mencari sesuatu yang memiliki kuasa tertinggi yang mencipta mereka dan kehidupan di alam ini. Walaupun manusia leka dengan kemewahan duniawi, namun jauh di sudut hati seseorang manusia itu masih ada ruang untuk beriman kepada Allah S.w.t. 
Semua agama di dunia ini percaya bahawa setiap manusia yang dilahirkan ke dunia dilahirkan dengan sifat-sifat baik dalam dirinya. Akal yang dianugerahkan oleh Tuhan membezakan manusia dengan segala ciptaannya.
Rasulullah Saw pernah bersabda maksudnya :
 “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang musyrik.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Dengan kata lain, manusia yang lahir perlu dan berhajat kepada agama. Oleh itu, agama dan manusia tidak boleh dipisahkan. Sifat semula jadi manusia kepada agama sememangnya ada pada setiap manusia yang hidup di muka bumi. Agama adalah fitrah iaitu perasaan semulajadi yang selaras dengan kejadian asal manusia yang diciptakan Allah S.w.t.
Selain daripada kecenderungan untuk beragama, manusia juga mempunyai ciri-ciri yang semulajadi dalam diri mereka apabila dilahirkan. Antara ciri-ciri tersebut ialah keupayaan untuk bertutur. Manusia mempunyai kemampuan untuk berinteraksi dengan simbol, bahasa atau kata-kata.  Kecenderungan menggunakan akal dalam segala bentuk amat digalakkan dalam Islam. Selain keupayaan untuk bertutur, manusia juga memiliki ciri kecenderungan moral yang mana kecenderungan ini amat berkait rapat dengan kecenderungan beragama.  Manusia mempunyai akal untuk membezakan perkara yang baik dan buruk.  Ia juga boleh menguasai segala keinginan untuk melakukan sesuatu yang melanggar norma masyarakat. Selai itu, manusia juga memiliki  kecenderungan untuk hidup bermasyarakat. Manusia sememangnya mempunyai kecenderungan untuk bersosialisasi atau bermasyarakat.  Mereka tidak mampu hidup bersendirian tetapi perlu berusaha untuk menjalin hubungan dengan anggota masyarakat yang lain.
Ahli sarjana Kristian menganggap fitrah kejadian manusia berasaskan 3 konsep iaitu semulajadi berdosa, tabula rasa dan “innate goodness”
Pada kurun ke pertengahan, kanak-kanak dipercayai lahir dengan dosa dan kejahatan. Justeru, tujuan pengasuhan kanak-kanak adalah untuk membersih mereka daripada dosa tersebut. Menurut perjanjian lama / Old Testement, orang Yahudi mengorbankan lembu dan kambing untuk membersihkan dosa ini serta untuk membersihkan dosa seluruh umat manusia
.
Pada kurun ke 17, John Locke memperkenalkan konsep tabula rasa. Kanak-kanak diibaratkan seperti “Blank blanket” dan keperibadiannya terbentuk daripada pengalaman. Pada kurun berikutnya, Jean-Jacques Rousseau memperkenalkan konsep “innate goodness”. Menurutnya pula, kanak-kanak dilahirkan dengan keadaan yang sedia baik. (http://falsafahkejadianman.blogspot.com/)
Kesimpulannya, secara fitrahnya, manusia dilahirkan dengan sifat yang baik yang dianugerahkan oleh penciptanya. Manusia dianugerahkan akal dan mempunyai kebebsan untuk memeilih serta tahu membezakan antara yang baik dan buruk.

0 comments:

Post a Comment