twitter
rss

Showing posts with label Pengenalan Pengajian Sosial. Show all posts
Showing posts with label Pengenalan Pengajian Sosial. Show all posts

Dalam konteks kehidupan sosial kanak-kanak, keluarga dan sekolah merupakan institusi manakala masyarakat serta rakan sebayanya adalah termasuk dalam kumpulan. Keluarga mempunyai banyak tanggungjawab dalam perkembangan kanak-kanak. Terdapat ahli sosiologi mengatakan bahawa kanak-kanak ketika dilahirkan adalah seperti kain putih atau papan tulis yang bersih. Maka, kanak-kanak tersebut akan mempelajari daripada ibu bapa mengenai kerjasama dan persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau senang hati dan ketegangan. Apabila ibu bapa bersifat garang terhadap kanak-kanak, kanak-kanak tersebut akan bersifat pasif, tidak ada inisiatif, tidak  mahu bekerjasama dan mereka takut untuk mengeluarkan pendapat. Sekiranya ibu bapa berlembut dengan anak-anak dan memenuhi segala permintaan mereka serta memberikan kebebasan mutlak kepada kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tersebut tidak akan menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan tanggungjawab. Walau bagaimana pun, sekiranya seseorang kanak-kanak itu dibesarkan dengan cara melibatkannya dalam setiap perbincangan mengenai masalah keluarga serta dididik dengan lembut tetapi tegas dan banyak diberi bimbingan, kanak-kanak tersebut akan bersifat bersopan santun, yakin kepada kebolehan dirinya serta menunjukkan sifat-sifat yang positif.
            Kedudukan kanak-kanak sebagai ahli dalam struktur sesebuah institusi keluarga juga mempengaruhi kehidupan sosialnya. Contohnya, kanak-kanak yang merupakan anak sulung lebih berdikari dalam hidupnya, berkeyakinan dan lebih sensitif terhadap persekitaran kerana lebih banyak menerima tekanan. Kanak-kanak yang merupakan anak bongsu pula dalam kehidupan sehariannya dapat dilihat sifatnya yang manja, bergantung kepada ahli keluarganya yang lain serta sentiasa mendapat perhatian daripada ahli keluarga yang lain.
            Sekolah juga merupakan institusi dalam kehidupan sosial kanak-kanak. Di sekolah, kanak-kanak belajar berinteraksi dengan orang lain yang berada dalam kelompok asas mereka. Kanak-kanak diajar ilmu pengetahuan dan kemahiran semasa berada di sekolah dan apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di sekolah tidak terbatas kepada kesedaran terhadap terhadap kurikulum sahaja tetapi mereka juga diajar tentang kepentingan nilai-nilai dan norma-norma kebudayaan masyarakat mereka.
            Dalam proses persekolahan, kanak-kanak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya dalam beberapa jam persekolahan. Dalam keadaan ini, mereka menentukan sama ada mereka diterima atau ditolak oleh kumpulan tersebut. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan mengenai kehidupan terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak akan cuba untuk menghayati norma, nilai dan harapan rakan sebaya agar diterima dan disanjung oleh kumpulannya walaupun kadangkala norma tersebut menyalahi norma dan nilai keluarga atau masyarakat.
           

Manusia atau dalam erti kata lain individu lain dalam sesebuah institusi masyarakat amat diperlukan oleh kanak-kanak untuk dijadikan sebagai pembimbing. Ini kerana fitrah kanak-kanak yang harus dipimpin dalam mengharungi kehidupan sebagai anggota masyarakat. Pentingnya individu lain dan tempat serta persekitaran kanak-kanak membesar dalam kehidupan sosial kanak-kanak dapat dilihat melalui kisah-kisah di mana individu diasingkan daripada masyarakat.
Sebagai contoh, kisah seorang kanak-kanak perempuan bernama Isabelle di Ohio, USA. Kisahnya boleh dikatakan kesan daripada pengasingan yang dialaminya. Isabelle telah dikurung dalam sebuah bilik gelap selama 6 tahun oleh datuk dan neneknya kerana dia dilahirkan secara haram oleh ibunya. Satu-satunya manusia yang berinteraksi dengannya selama 6 tahun tersebut adalah ibunya. Oleh kerana itu, dia tidak dapat bercakap dan mendengar. Pada tahun 1938, pihak berkuasa Ohio telah menjumpainya apabila ibunya melarikan diri dari rumah bersamanya. Oleh kerana jarang melihat orang lain, dia bersikap ganas terhadap orang lain seperti binatang liar. Setelah itu, golongan professional memberi latihan kepadanya dan mendapati dia sebenarnya dapat mendengar dan setelah beberapa hari dia menunjukkan minat untuk bercakap. Apabila berusia 9 tahun, dia telah bersedia bersekolah. Ini adalah sebab pakar-pakar telah membuat program latihan yang sistematik untuk membentuk Isabelle menyesuaikan diri berhubungan dengan manusia dan melalui proses sosialisasi. Dari kes ini, dapat dilihat bagaiman pentingnya interaksi dengan manusia dalam kehidupan sosial kanak-kanak. (Rohana Yusof,1996)
Dalam kes yang lain, seorang kanak-kanak perempuan bernama Genie dari California dikurung oleh ayahnya dari umur 20 bulan hingga 13 tahun. Genie diikat pada satu kerusi dan tidak dapat mengerakkan badannya kecuali jari-jari dan tangannya. Keadaan rumah Genie sentiasa sepi dan dengan ini dia tidak boleh mendengar sebarang bunyi. Genie sering dipukul oleh ayahnya sekiranya dia berbuat bising. Disebabkan itu, dia belajar memendam segala perasaan. Kerana selalu terikat pada kerusia, di tidak dapat berdiri tegak, lari dan melompat dan oleh kerana dia tidak pernah melihat objek jauh, penglihatannya rosak dan hanya dapat memfokus kepada objek-objek yang dekat sahaja. Genie juga sukar dikawal di khalayak ramai, merampas apa sahaja yang menarik perhatiannya dan kelihatan sangat curiga terhadap keadaan sekitarnya akibat dia tidak melalui proses sosialisasi. Melalui kes ini, kita dapat melihat betapa pentingnya proses interaksi dengan manusia, serta betapa pentingnya persekitaran terhadap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak dalam kehidupannya. Jika persekitan memberi peransang yang baik maka baiklah perkembangan personalitinya dan jika tidak maka akan berlaku sebaliknya. (Rohana Yusof,1996)
Dengan melihat kepada kes-kes tersebut, jelaslah pengasingan individu dari manusia lain memberikan kesan yang negatif terhadap perkembangan fizikal, mental dan sosial kanak-kanak. Jika kanak-kanak tidak digalakkan untuk mempunyai kawan-kawan dan persekitaran yang baik, mereka mungkin akan tertekan untuk berinteraksi dengan kawan-kawan dan amatlah kritis dalam perkembangan emosi mereka.
Tempat juga mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak. Perbezaan tempat akan memberi perbezaan kebudayaan, cara hidup, pemikiran, pekerjaan dan kehidupan sosial sesuatu masyarakat. Kehidupan sosial kanak-kanak dipengaruhi oleh tempat alam sekitar ia dibesarkan. Perbezaan tempat ia dibesarkan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak itu sendiri dari segi tingkah laku, pemikiran, aktiviti seharian, percakapan,budaya dan sebagainya.
Masyarakat yang tinggal di bandar berbeza daripada masyarakat yang tinggal di desa. Masyarakat desa lebih menjurus kepada kegiatan ekonomi pertanian seperti pesawah, nelayan, tukang rumah dan sebagainya. Masyarakat desa juga mempunyai kesedaran perpaduan kelompok yang kuat sehinggakan mempertahankan kelompok dan nilainya adalah lebih penting daripada individu. Ini dapat dilihat melalui amalan gotong royong yang dilihat jelas berlaku dalam kehidupan masyarakat desa. Ini akan menyebabkan kanak-kanak yang duduk di desa atau luar bandar mempunyai nilai-nilai seperti mana yang wujud dan berlaku dalam masyarakat setempatnya. Kanak-kanak luar bandar juga seringkali dilatih untuk hidup bersama masyarakat. Ibu bapa akan membawa anak-anak mereka turut serta dalam kegiatan masyarakat. Secara tidak langsung amalan kerjasama, hormat menghormati dan kemesraan dipupuk dalam diri kanak-kanak melalui pemerhatian, ingatan dan peneguhan yang berulang kali. (http://fillnthecookies.blogspot.com/)

Seperti yang telah dinyatakan dalam konsep budaya, kebudayaan boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu kebudayaan kognitif, kebudayaan normatif serta kebudayaan kebendaan. Ketiga-tiga komponen kebudayaan ini mempunyai pengaruh terhadap kehidupan sosial kanak-kanak.
Bagi kebudayaan kognitif, budaya yang berlainan akan menyebabkan kanak-kanak menggunakan simbol, bahasa, dan kepercayaan serta juga nilai yang berlainan. Sebagai contohnya, kanak-kanak yang hidup dalam budaya mayarakat Dusun tidak akan sama kehidupan sosialnya dengan kanak-kanak yang membesar dengan budaya Cina. Ini kerana, dari segi bahasa, bahasa yang digunakan semasa membesar dan juga bahasa yang digunakan di sekelilingnya semasa membesar adalah berlainan. Dari segi kepercayaan pula, kanak-kanak yang merupakan orang Dusun mempunyai kepercayaan sendiri yang mana telah diterapkan oleh ibu bapanya semenjak lahir lagi. Kepercayaan yang diterapkan dalam diri kanak-kanak Dusun ini adalah berbeza dengan kepercayaan yang diterapkan dalam diri kanak-kanak yang hidup dalam masyarakat yang mempunyai kebudayaan berbeza.
Nilai yang diterapkan antara kanak-kanak yang berlainan budaya juga adalah berbeza. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang menganggap bahawa barang yang dijumpai di tengah jalan adalah tidak salah untuk dijadikan hak milik mereka. Oleh itu, anak mereka akan mengikut tingkah laku ibu bapanya dan hidup dengan nilai tersebut dalam kehidupan hariannya. Ada pula ibu bapa yang menganggap mengambil barang yang dijumpai dan dijadikan hak milik adalah perkara yang tidak baik, dan nilai ini diturunkan kepada anak mereka lalu anak mereka akan hidup dengan nilai yang sama.
Bagi komponen kebudayaan normatif pula, pengaruhnya dalam kehidupan sosial kanak-kanak juga dapat dilihat. Setiap masyarakat mempunyai norma sosial yang berbeza dan norma-norma ini memberi pegaruh terhadap kehidupan sosial kanak-kanak. Kanak-kanak mempelajari budaya melalui norma-norma masyarakat. Budaya yang ditunjukkan oleh anggota masyarakatnya bukan sahaja akan menentukan sahsiah, tingkah laku malahan kehidupan sosialnya bermula dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa. Sekiranya kanak-kanak hidup dalam masyarakat yang mempunyai budaya yang baik, maka hasilnya positif dan diterima oleh masyarakat namun sekiranya ia hidup dalam masyarakat yang mempunyai budaya yang tidak sihat dan bertentangan dengan budaya masyarakatnya maka tingkah lakunya kelak adalah tidak disenangi oleh semua pihak. Sebagai contoh, bagi masyarakat Barat, budaya pergaulan yang bebas antara lelaki dan perempuan adalah perkara yang tidak menjadi kesalahan dan tidak dipandang serius. Ini mempengaruhi kanak-kanak yang hidup dalam masyarakat tersebut yang mana mereka bergaul dengan bebas dengan rakan yang berlainan jantina sehingga ada yang melampaui batas pergaulan. Bagi masyarakat Timur pula, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah sesuatu yang menyalahi norma dalam masyarakat dan ini mendidik kanak-kanak untuk menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam kehidupan sosial mereka.
Contoh lain yang lebih jelas ialah dalam situasi di Negara-negara yang mengalami peperangan contohnya di Palestin. Di Palestin, kanak-kanak sudah mula terlibat dalam peperangan dan ianya tidak melanggar norma masyarakat di sana kerana keadaan mereka, tetapi bagi Negara-negara yang aman, kanak-kanak terlibat dalam peperangan adalah sesuatu yang menyalahi norma masyarakat mereka.

Perkataan budaya berasal dari perkataan budi dan daya yang mana perkataan tersebut digabungkan menjadi budi dan daya. Perkataan bu dalam budaya membawa maksud asli, pertama, sejati dan yang dipandang sempurna, menyenangkan serts dimuliakan. Daya pula bererti akal, fikiran, ciptaan dan sebagainya. Dengan itu dapat disimpulkan bahawa perkataan budaya merangkumi segala hasil daripada akal manusia yang asli dan bukan tiruan, setiap perilaku yang ditiru tidak akan dianggap sebagai hasil budaya sesuatu bangsa atau masyarakat. (Rohana Yusof,1996)
Menurut Edward B.Taylor dalam bukunya Primitive Culture, kebudayaan merupakan satu keseluruhan kompleks yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, sikap, undang-undang adat resam dan kebolehan lain yang diperolehi manusia sebagai ahli masyarakat.
Ruth Benedict pula menyatakan bahawa kebudayaan merupakan unsur perorganisasian antara individu dan membentuknya menjadi satu kelompok yang berkebudayaan. Bagi Ralph Linton pula, kebudayaan merupakan satu susunan perlakuan yang dipelajari dan hasil daripada perlakuan tersebut digunakan bersama dalam masyarakat. Susunan perlakuan bermaksud perlakuan yang dikaitkan dengan kehendak atau fungsi yang kekal dalam masyarakat.
Budaya terbahagi kepada tiga komponen kebudayaan iaitu komponen kognitif, komponen normatif serta komponen kebendaan. Kebudayaan yang berbentuk kognitif ialah keseluruhan pemikiran yang ada pada sesebuah masyarakat. Ini termasuklah simbol, bahasa dan nilai termasuk ilmu pengetahuan dan kepercayaan. Simbol merupakan sesuatu yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu sebagai contoh bendera, perkataan dan nombor. Bahasa pula merupakan alat perhubungan yang digunakan untuk menyatakan serta berkongsi idea, nilai kepercayaan dan pengetahuan manakala nilai pula merupakan idea yang dikongsi bersama berkenaan sesuatu yang penting dan berguna. Nilai merupakan satu prinsip anggota masyarakat untuk bertindak dan nilai adalah anggapan yang mustahak,baik dan dikongsi. Ia dihasilkan daripada tingkah laku manusia dan apa yang dipelajari. Nilai seseorang  individu terbentuk berdasarkan kepercayaan dan agam yang dianuti mereka. Masyarakat yang berlainan antara satu sama lain akan mempunyai budaya yang berbeza-beza seterusnya mempunya  nilai yang berbeza.
Komponen bagi kebudayaan normatif ialah elemen yang berbentuk norma sosial. Setiap budaya mengandungi peraturan yng mengatur perlakuan anggota masyarakat dalam setiap situasi kehidupan. Peraturan ini dikatakan sebagai norma yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh anggota masyarakat dan diterima sebagai perlakuan yang sesuai untuk situasi tertentu. Sebagai tingkah laku yang standard, norma sosial merupakan peraturan yang ditentukan dan dipersetujui oleh sebahagian besar anggota masyarakat tentang munasabah atau tidaknya sesuatu tingkah laku itu. Norma akan memberi garis panduan kepada tingkah laku yang wajar sama ada ia betul atau salah.
Komponen kebudayaan yang terakhir iaitu kebendaan ialah kebudayaan dalam bentuk objek yang konkrit seperti tempat tinggal, benda dan cara penggunaannya serta alat mempersembahkan idea dengan cara yang juga konkrit seperti buku dan lukisan. Kebudayaan kebendaan terdiri daripada objek fizikal yang direka, dibuat, digunakan dan dikongsi bersama oleh anggota masyarakat termasuklah teknologi yang digunakan. Artifak yang dicipta bukan sahaja hasil daripada teknologi tetapi juga daripada nilai, kepercayaan dan normanya. Masyarakat yang mempunyai tradisi tentang persoalan saintifik dan sedia menerima perubahan intelek lebih besar kemungkinan membuat ciptaan-ciptaan baru jika dibandingkan dengan masyarakat yang menolak perubahan.